THIS BLOG IS WRITTEN IN "MALAYSIAN" LANGUAGE SOMETIMES MIXED WITH ENGLISH DEPENDS ON THE TOPIC POSTED.
FOR ALL THE VIEWER@READERS THANK YOU FOR YOUR SUPPORT FOR VISITING THIS BLOG

-AJAK MUSANG-( >_<)V

AJAK MUSANG RACING TEAM PAST & PRESENT SLIDESHOW SCROLL DOWN FOR STORY

Selasa, 21 Mei 2013

LUAHAN MAT MOTOR : DULU & SEKARANG...FAHAMI KAMI....


Tangani masalah mat rempit dari kaca mata mat motor

SAYA merupakan ‘mat motor’ dan pernah terlibat dengan aktiviti ekstrem sehingga dikenakan tindakan Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 Seksyen 49(1) pada 1990-an.
Jika apa yang saya lakukan seperti berlumba, melakukan aksi bahaya dan pelbagai gelagat di luar norma penunggang motosikal yang normal itu dikatakan lagak ‘mat rempit’, maka wajar saya digelar ‘mat rempit’. Dan saya tidak bangga pun akan gelaran tersebut.
Pengalaman lampau membuatkan saya lebih kenal dunia ‘mat rempit’ yang heboh diperkatakan sekarang. Jika dibaca, dilihat dan didengar, ‘mat rempit’ adalah remaja yang jahat, memberontak, seks bebas, mempertaruhkan perempuan sebagai hadiah perlumbaan haram, curi motor, bergaduh, peminum arak, salah guna dadah dan pelbagai lagi perangai liar.
Simptom mat rempit sebenarnya telah wujud sejak tahun 1970-an hingga sekarang. Perbezaannya adalah cara merempit mengikut perkembangan zaman. Malah kepesatan ekonomi dan pemodenan juga menyumbang kepada perubahan gejala rempit.
Dengan sebuah motosikal boleh dibeli dengan membayar deposit semurah RM200 dan penurunan taraf penggunaan motosikal sebagai alat pengangkutan pilihan kedua kerana lambakan kereta yang murah di pasaran juga menjadi faktor penyumbang.
Jika dulu anak-anak muda bergerak dengan berjalan kaki dan menaiki bas, sekarang mereka bebas ke mana-mana sama ada menunggang motosikal sendiri atau motosikal kepunyaan ayah dan abang.
Jika dahulu aktiviti mereka hanya dalam lingkungan satu kilometer dari rumah, kini mereka boleh bergerak melebihi 20 kilometer.
Atas pelbagai alasan termasuk kebosanan dan pengaruh rakan sebaya, pada malam minggu sahaja dianggarkan lebih 500 hingga 1,000 mat rempit berkeliaran di sekitar Kuala Lumpur. Ternyata gejala rempit sekarang menjadi cara hidup remaja masa kini.
Lihat sahaja laman web Myspace. Rata-rata remaja bersekolah atau pun berusia awal 20-an menjadikan rempit sebagai cara hidup dan ikutan untuk menjadi lebih cool tanpa mengetahui implikasi buruk di sebaliknya.
Kumpulan-kumpulan mat rempit baru tumbuh bagaikan cendawan. Majoriti berumur 13 tahun hingga hujung 20-an.
Jika semuanya ditangkap, disabitkan kesalahan dan dihukum, mereka bakal menjadi banduan. Adakah kita mahu bekas-bekas banduan menggantikan tempat kita?
Dalam kita sibuk menuding jari dan menuntut hukuman yang lebih tegas, fikirkanlah adakah pernah kita mendidik anak-anak kita tentang gejala buruk rempit ini?
Di sekolah ada kempen keselamatan jalan raya, tapi berapa ramaikah pelajar yang benar-benar dilibatkan di seluruh negara?
Saya sebagai Presiden Kelab Motosikal RD CLUB, telah 10 tahun berkempen membanteras lumba haram dan kegiatan rempit, namun tidak terdapat satu pun risalah Majlis Keselamatan Jalan Raya mengenai gejala tersebut.
Saya terpaksa menggunakan risalah Agensi Dadah Kebangsaan bagi menasihatkan mat rempit supaya jangan menggunakan dadah berbahaya ketika menunggang.
Walau pun RD CLUB tidak mendapat bantuan daripada kerajaan, kami tetap bergerak walau dengan dana kewangan yang amat terhad.
Sesekali apabila melihat mat rempit mengangkat tayar hadapan atau berdiri di atas motosikal ketika motosikal sedang bergerak di jalan awam, pasti gelagat mereka dipandang dengan penuh rasa benci.
Tetapi tahukah kita bahawa di luar negara, aksi yang memerlukan skil yang tinggi itu juga menjadi kegilaan ‘mat motor’ di sana.
Namun aksi tersebut yang dipanggil stunt dialihkan dari jalan awam ke lokasi khas sama ada kawasan parkir atau kawasan lapang jauh dari jalan awam untuk dijadikan tontonan penonton.
Aktiviti tersebut yang dipantau dan dikawal dapat dikomersialkan sebagai pertunjukan motosikal sama ada bertaraf tempatan mahupun dunia.
Kenapa kita di Malaysia tidak boleh menyediakan lokasi dan kemudahan lain bagi aktiviti seumpama itu. Mat rempit suka aksi mereka ditonton orang lain, maka jalan raya awam menjadi tumpuan mereka kerana terdapat penonton.
Wajar kita menyediakan prasarana khas untuk mereka beraksi tanpa gangguan pihak berkuasa dan tanpa mengganggu orang lain.
Tentulah tidak semua mat rempit akan menggunakan prasarana khas yang disediakan untuk mereka, tapi majoriti akan ke sana.
Hanya ‘mat rempit tegar’ sahaja akan terus beraksi di jalan raya awam.
Disebabkan bilangan mereka tidak ramai, pasti lebih mudah bagi pihak berkuasa untuk membanteras mat rempit tegar ini.
Secara tidak langsung, prasarana yang disediakan dapat mengasingkan ‘mat rempit tegar’ dan ‘mat rempit tidak tegar’.
Saya amat bersetuju jika ‘mat rempit tegar’ itu digelar ‘mat bodoh’ kerana setelah diberi pendidikan dan peluang untuk beraksi secara sihat dan selamat, mereka masih tidak menggunakan akal untuk berubah.
Apa pun, mereka hanyalah sekadar anak-anak muda yang melakukan kesalahan trafik. Jika disabitkan kesalahan dan selesai menjalani hukuman, mereka mestilah diberikan bimbingan melalui motivasi dan kaunseling.
Jika tidak, mereka akan terus terawang-awang dalam mencari hala tuju dan akhirnya kembali ke kegiatan lama.
Malah dikhuatiri mereka yang telah menjalani hukuman tapi tidak berubah, akhirnya akan menjadi lebih ekstrem dan ganas.
Kesimpulannya, kita tidak boleh hanya menghukum, tapi mestilah mendidik di sekolah dan melalui kempen serta ceramah.
Kita mestilah menyediakan prasarana dan mengatur program untuk mereka. Kita juga hendaklah menyediakan program pemulihan selepas hukuman dalam bentuk motivasi dan kaunseling.
Saya telah menyaksikan aplikasi rangkuman beberapa aspek tersebut berjaya membentuk seorang mat rempit yang telah menjalani hukuman penjara untuk menjadi seorang guru sekolah yang amat berdedikasi.
– AZHANYZAM ZAKARIA,
Presiden RD CLUB.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERIKAN KOMEN BERNAS ANDA TENTANG PENULISAN SAYA INI(CUMA TULIS DAN HANTAR)