THIS BLOG IS WRITTEN IN "MALAYSIAN" LANGUAGE SOMETIMES MIXED WITH ENGLISH DEPENDS ON THE TOPIC POSTED.
FOR ALL THE VIEWER@READERS THANK YOU FOR YOUR SUPPORT FOR VISITING THIS BLOG

-AJAK MUSANG-( >_<)V

AJAK MUSANG RACING TEAM PAST & PRESENT SLIDESHOW SCROLL DOWN FOR STORY

Jumaat, 2 April 2010

REALITI SUKAN MOTOR NEGARA

MEMPERKATAKAN tentang kemajuan sukan motor di Malaysia adalah satu perkara yang agak umum. Apabila melihat kejayaan penganjuran acara sukan besar seperti Japan GT, Grand Prix Formula Satu, MotoGP, MME, Formula BMW Asia, AFOS, MSS, A1GP, Kejohanan Kart antarabangsa, D1 dan sebagainya, ia menggambarkan bahawa sukan motor adalah satu kebanggaan bagi rakyat negara ini.

Namun, di sebalik gahnya nama-nama acara besar yang dipertandingkan, sebenarnya, barah gejala seperti mat rempit dan perlumbaan haram seakan tiada jalan penyelesaiannya.

Andai ada satu fakta membuktikan kemunduran arena sukan bermotor tempatan, litar BTSC (Batu Tiga Speedway Circuit) ditutup buat selama-lamanya untuk memberi laluan pada satu projek perumahan mewah adalah contoh terbaik.

Projek jutaan ringgit ini yang nyata tidak langsung mengambil kira kepentingan minat dan kecenderungan pelumba kelas bawahan tempatan.

Litar Batu Tiga menjadi satu-satunya lokasi bagi anak muda sekitar Lembah Klang untuk menghabiskan masa hujung minggu mereka dengan pelbagai acara sukan bermotor yang mampu mereka sertai.

Misalnya perlumbaan CCT kereta dan perlumbaan rempit di litar yang ringkas. Malah, ketika pada waktu kemuncaknya, pelbagai acara dan karnival telah dijalankan hampir setiap minggu.

Jadi siapa yang harus dipersalahkan? Kemajuan yang hanya dinikmati oleh mungkin untuk 500 orang kaya, berbanding kesengsaraan 50,000 lagi rakyat Malaysia yang berjiwa sukan motor.

Ramai yang mencadangkan litar Antarabangsa Sepang sebagai alternatif. Tetapi, cuba tanyakan kepada mat rempit yang melepak di Dataran Merdeka, berminatkah mereka untuk ke Sepang?

Berapa banyak pula acara yang dijalankan benar-benar menjurus kepada program khusus untuk mereka?

Kebanyakan agenda dan pembangunan sukan bermotor di Malaysia ini terlalu gah dan mahal untuk melibatkan golongan ini.

Namun akhirnya, litar dihuni oleh sukan go-kart mewah dan persatuan sukan bermotor yang mengaku mereka berusaha ke arah memantapkan sukan motor tempatan. Terlalu banyak kelemahan yang perlu diatasi.

Karnival yang dijalankan pula seperti melepaskan batuk di tangga.

Jadi apabila sampai satu tahap, hilangnya pentas untuk beraksi, maka mat rempit menjadikan jalan raya sebagai litar mereka.

Mat rempit lazimnya terdiri dari mereka dari kalangan keluarga yang berpendapatan rendah, tinggal di kawasan perumahan flat yang biasanya sempit untuk sebuah keluarga moden.

Maka, dengan motosikal custom made, pada malam minggu, mereka mencari hiburan dengan merempit. Begitu juga dengan lumba haram kereta yang kewujudannya jarang sekali diakui.

Hakikatnya, perlumbaan tidak sah ini berlaku dengan berleluasa kerana mereka mempunyai sebab yang logik untuk sama-sama kita fikirkan.

Sukan motor kelas bawahan (grassroots) sebenarnya telah lama mati. Khasnya untuk sukan yang melibatkan motosikal. Mujur, masih ada usaha untuk terus mempertahankan kejohanan cub prix. Namun, itu pun bukan mudah kerana persaingan kini banyak menyaksikan syarikat korporat menaja pelumba handalan.

Bercakap tentang perlumbaan kereta pula, nasib kita mungkin sedikit beruntung kerana masih ada acara-acara kecil yang dijalankan seperti Drag Battle Sepang, drift hujung minggu bersifat kelab dan sukan drift yang masih lagi logik yuran dan syarat penyertaannya.

Tetapi, acara seperti Malaysian Super Series, MME dan satu dua acara di Sepang kembali menjadi sukan mahal dalam kategorinya.

Sempena lebih 50 tahun merdeka ini juga, adalah amat diharapkan akan wujudnya kesedaran di kalangan pembuat dasar tentang peri pentingnya melihat 'ke bawah' untuk memajukan sukan motor di Malaysia. Ia lebih daripada sekadar membawa sukan bertaraf dunia.

Tidak guna kita ada 50 acara antarabangsa sekalipun sedangkan yang menikmatinya tidak sampai pun satu peratus dari rakyat Malaysia.

Jika kos membina sebuah litar lengkap atau kompleks sukan memakan belanja yang tinggi, bina sahaja drag strip yang ringkas. Pokok pangkalnya ialah usaha dan kesedaran.

Kita perlukan pentas asas yang lebih banyak untuk melahirkan pelumba bertaraf dunia. Kita perlukan lebih ramai Alex Yoong dan Fairuz Fauzy. Generasi baru perlu diberi peluang mengetengahkan bakat mereka dengan betul.

Ramai anak muda yang ingin mengembangkan bakat mereka ke peringkat yang lebih baik. Tetapi malangnya, mereka tidak tahu di manakah saluran yang betul. Minat dan bakat ini akhirnya diterjemahkan di jalan-jalan raya yang akhirnya merugikan kita semua. 

PAUTAN KE LUAH RASA TIDAK PUAS HATI MEREKA DI FORUM >>
http://www.facebook.com/people/Ajak-Musang/100000864173257#!/topic.php?uid=366560646565&topic=20549

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SILA BERIKAN KOMEN BERNAS ANDA TENTANG PENULISAN SAYA INI(CUMA TULIS DAN HANTAR)